Pada awal tahun 2015 saya telah membuat keputusan untuk berhijah ke luar negara. Alasan utama pada waktu tersebut adalah untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dari segi kerjaya. Bukan kewangan semata-mata. Ini didorong oleh reputasi syarikat rekabentuk terkemuka dunia yang beribu pejabat di ‘Scandinavia’. Syarikat ini terlebih dahulu melopori bidang minyak dan gas sebelum Malaysia. Jadi, sudah tentu faktor ini menjadi batu asas kepada keputusan yang diambil.

Penurunan Harga Minyak Mentah Dunia
Saya berada di syarikat tersebut untuk tugasan di Brunei tidak lama. Hanya lebih kurang setahun. Ini berlaku deretan daripada keadaan harga minyak yang menunjukkan pengurangan permintaan sejak pertengahan tahun 2014 dan terus merudum sebelum kekal ‘stabil’ pada harga terkini iaitu USD 60 untuk setiap tong. Ramai pekerja luar negara terlebih dahulu diberhentikan perkhidmatan. Ketika langkah ini diambil, harga minyak berlegar sekitar USD 40 setiap tong. Ramai di kalangan rakan sejawatan saya berasa resah kerana memikirkan nasib mereka kelak. Situasi ini lebih teruk dengan adanya perjanjian diantara majikan dan kerajaan Brunei untuk mengutamakan pekerjaan kepada warga tempatan.
Pada awalnya saya berasa khuatir kerana kehilangan pekerjaan. Tetapi selepas beberapa hari saya berasa lega kerana Allah SWT adalah sebaik-baik Perancang. Saya diamanahkan oleh-Nya untuk menjaga amanah yang pada ketika itu berusia lebih kurang 3 bulan. Berada di samping keluarga adalah detik-detik bahagia buat saya. Jadi, saya menjaga bayi tersebut sebelum membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.
Kenapa memilih bidang Teknikal?
Saya telah melakar perjalanan kerjaya semenjak tahun 2012 lagi. Tetapi kekangan kewangan dan juga masa tidak mengizinkan sehinggalah faktor ekonomi dunia membantu saya membuat pilihan. Benarlah kalam Allah SWT di dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5 dan 6 bahawa ‘Sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kesenangan’. Maka saya membulatkan hati untuk menyambung pelajaran di kala ekonomi yang teruk ini. Keputusan ini juga diambil setelah membaca beberapa berita, majalah dan laporan bahawa Malaysia kekurangan tenaga kerja pakar tempatan menurut bekas Pengarah Urusan MMHE seperti di sini. Ini juga selaras dengan kajian yang dilakukan oleh PwC Malaysing bertajuk ‘Study on Talent Demand & Supply in the Oil & Gas Sector, 2012′ yang boleh didapati di sini. Jadi, berdasarkan kepada perkara ini maka saya bercadang melanjutkan pengajian di UTM di dalam pengajian Sarjana Kejuruteraan Bahan.

Kenapa memilih UTM?
Saya seorang yang memilih untuk kebanyakkan perkara. Pemilihan institusi pengajian tinggi juga perlu kerana jika anda salah pilih kemungkinan besar majikan akan terlepas pandang. Ini berlaku kerana setiap universiti di Malaysia telah sinonim dengan majikan di setiap industri dan kerajaan telah mengadakan pengkhususan bagi setiap kepakaran universiti terbabit. Maklumat lanjut boleh dirujuk di sini. Universiti Teknologi Malaysia merupakan pilihan utama saya selepas meneliti matapelajaran yang ditawarkan. Ini bersesuaian dengan perjalanan kerjaya kelak.
Tujuan utama melanjutkan pelajaran ini adalah untuk mendapatkan ilmu. Jadi saya memilih ‘courseworks’ kerana ianya pilihan terbaik buat saya. Pemilihan ini selari dengan peratusan 32% seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi melalui Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016.

Kekurangan pelajar melanjutkan pelajaran
Jika diperhatikan melalui Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016, hanya 21.1% sahaja yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana. Angka ini adalah kecil jika dibandingkan dengan 283 627 siswazah yang dihasilkan oleh Malaysia pada 2016.

Ini berlaku berkemungkinan besar peluang pekerjaan yang sangat terhad kepada rakyat Malaysia secara amnya. Ini adalah benar melalui laporan oleh MIDA seperti di sini di mana hanya 64 120 peluang pekerjaan sahaja berjaya dijana kerajaan melalui pelaburan dari luar negara. Persaingan adalah sangat tinggi, hanya 2 orang dari setiap 10 orang lepasan siswazah berjaya mendapatkan pekerjaan.
Kesulitan di awal permohonan
Sebenarnya semenjak dari tahun 2012 lagi saya telah memohon untuk melanjutkan pelajaran di UTM tetapi ditolak kerana keputusan Sarjana Muda yang kurang memuaskan iaitu di bawah 2.50. Untuk melanjutkan pelajaran juga, saya perlu memiliki pengalaman kerja.

Jika anda perhatikan data di atas ini saya berada di dalam kumpulan 3%. Mengikut statistik ini jelas menunjukkan bahawa diri saya ‘sepatutnya’ tidak berangan-angan untuk menyambung pengajian. Saya selalu mengharungi arus! Pada masa sama juga berjaya membuktikan bahawa jangkaan orang di sekeliling saya tidak tepat (lihat di bawah).
Jadi pada tahun 2016 saya memohon semula. Pada pendapat saya permohonan pada kali ini akan diterima kerana pengalaman kerja sudah ada. Tidak mungkin akan ditolak. Sangkaan saya meleset sama sekali. Permohonan saya juga ditolak buat kali kedua. Tetapi pada kali ini saya tidak mudah mengalah kerana sebab-musabab telah ada di dalam tangan saya. Jadi saya terus hubungi ‘Course Coordinator’ untuk mendapatkan pandangan beliau. Dia terkejut kenapa dengan kelayakan dan pengalaman kerja saya ditolak. Saya berasa sedikit lega kerana ada cahaya dihujung terowong. Beliau memberikan ‘jaminan’ bahawa permohonan saya akan lulus jika dibuat surat rayuan.

Beliau juga menasihatkan saya untuk bertemu dengan pensyarah kejuruteraan bahan untuk mendapatkan pandangan. 2 orang pensyarah saya sempat bersembang dan secara umumnya mereka bersetuju dan menggalakkan saya menyambung pelajaran. Usaha saya tidak terbantut di sini sahaja. Saya melangkah ke pejabat Fakulti untuk bertemu secara terus dengan Timbalan Dekan. Setelah temu janji ditetapkan maka saya berjaya berjumpa secara bersemuka dengan beliau. Timbalan Dekan tidak ingin mengambil risiko dengan membenarkan saya menyambung pengajian kerana UTM pernah mengalami situasi di mana pelajar seperti saya gagal menamatkan pengajian setelah beberapa peluang diberi. Jika dibenarkan juga kemungkinan besar melalui penyelidikan. ‘Mode’ penyelidikan bukanlah pilihan utama saya kerana niat utama saya adalah untuk memperoleh pengetahun kejuruteraan bahan.
Alhamdulillah. Dengan bantuan dan usaha berterusan dari ‘Course Coordinator’, saya berjaya melanjutkan pelajaran. Saya terhutang budi pada beliau! Manakan tidak, ini adalah perancangan saya sejak tahun 2012 lagi.
Apakah matapelajaran yang diajar?
Tidak termasuk matapelajaran teras universiti dan juga Projek Master, ada 4 matapelajaran teras yang perlu saya ambil iaitu:
- Advanced Techniques of Materials Characterisation
- Processing and Fabrication of Materials
- Microstructure and Mechanical Properties of Materials
- Research Methodology
Manakalan 5 pelajaran elektif yang telah saya pilih adalah seperti berikut:
- Materials Testing and Quality Control
- Corrosion I
- Materials Selection
- Surface Engineering
- Subsea Technology
Matapelajaran teras merupakan antara ‘hardcore’ terhadap pelajar lulusan Kejuruteraan Mekanikal kerana saya mempunyai pengetahuan asas yang sangat terhad. Tidak seperti ‘undergraduate in materials’. Jadi saya terpaksa berjuang dengan diri sendiri, keluarga, dan beberapa lagi sepanjang melanjutkan pelajaran di UTM.
Boleh dikatakan hampir 99% matapelajaran di UTM ini bersesuaian dengan industri minyak dan gas. Sangat munasabah jika diamalkan di dalam industri. Disebabkan ini juga lepasan UTM senang dipasarkan di alam pekerjaan.
Kenapa memilih Subsea Technology?

Subsea Technology merupakan matapelajaran bagi pelajar Kejuruteraan Marin. Saya memilih matapelajaran ini kerana ingin memahami secara menyeluruh berkenaan rantaian nilai minyak & gas di persisir pantai. Antara bab yang diulas di dalam matapelajaran ini adalah seperti berikut:
- Introduction to Subsea technology
- Subsea System Operations in shallow and deep water
- Fluid Behaviour and Flow Assurance
- Flowlines and Pipelines in shallow and deep water
- Subsea Control and Communications
- Safety and Reliability Subsea Engineering
- Subsea Geomechanics and Hydrodynamics
- Subsea Structures and Production System Engineering
- Subsea Project Management and life cycle cost
- Subsea Surveying and Installation in shallow and deep water
Pada masa yang sama juga saya cuba untuk memanfaatkan matapelajaran ini dengan ‘subsea piping’ di masa hadapan. Kerana sepanjang kerjaya, saya banyak terlibat dengan ‘topside piping’ sahaja. Saya berharap agar Subsea Technology ini dapat memberikan sesuatu kepada perjalanan kerjaya kelak. Amin.
Apakah rintangan terbesar sepanjang menyambung pengajian?
Terus terang saya nasihatkan, tolong sambung belajar ketika otak anda masih segar. Sebaik sahaja tamat pengajian Sarjana Muda teruskan usaha anda ke peringkat lebih tinggi. Ini kerana sejak meninggalkan bangku universiti, otak saya menjadi sangat ‘lembab’ untu menerima ilmu baru yang bersifat ‘academic’.
Pada pendapat saya ini mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan kerja seharian yang tidak memerlukan pemikiran aras tinggi untuk melaksanakan tugasan seharian. Atau kita sebenarnya ‘overqualified Assistant Engineer’? Sama-sama renungkan.
Pada masa yang sama kehidupan berkeluarga memerlukan pengorbanan yang banyak. Saya terpaksa menjadi ‘selfish’ sepanjang pengajian kerana keperluan untuk menelaah sepanjang hari. Saya juga beberapa kali pada hujung minggu pergi membeli-belah bersama keluarga dengan membawa buku atau komputer riba! Pada waktu ini perselisihan faham mungkin akan terjadi kepada keluarga dan anda wajib mempunyai kesabaran dan kewarasan akal yang tinggi untuk mengawal bahtera perkahwinan anda.
Adakah berbaloi dengan semua ini?
Ya. Ianya berbaloi. Pemikiran saya lebih terbuka dan bersedia untuk menerima ilmu baru. Cara pembacaan juga dapat dipertingkatkan. Tidak lagi seperti pemikiran seperti seorang ‘undergraduate’. Pada saya, semakin tinggi pendidikan seseorang semakin ‘waras’ untuk seseorang menerima buah fikiran baru. Penyelesaian masalah seharian juga lebih baik. Tak percaya? Cuba lah!
Apakah pesanan yang boleh disampaikan kepada Jurutera yang ingin menyambung pengajian?
Dengan rendah diri, saya menasihatkan kalian semua untuk menyambung pengajian dikala ekonomi meleset ini. Saya khuatir jika ekonomi pulih kelak, masa anda adalah terhad. Walaupun Malaysia gagal mengadakan pekerjaan yang bersesuaian dengan latar belakang Sarjana mahupun Doktor Falsafah, keadaan ini telah mula berubah terhadap corak pengambilan pekerja di Malaysia. Beberapa syarikat minyak antarabangsa telah mula mengambil lepasan Sarjana sebagai kelayakan ‘minimum’.
Pihak universiti juga perlu melonggarkan syarat kemasukkan ke peringkat Sarjana dikala kemelesetan ekonomi ini agar Jurutera yang tidak memenuhi syarat ‘minimum’ anda dapat melanjutkan pelajaran, menjana pendapatan universiti dan seterusnya membudayakan masyarakat yang dahagakan ilmu. Jika pengalaman kerja yang panjang/lama seperti lebih dari 6 tahun, saya yakin ramai Jurutera ini tidak akan menoleh kebelakang lagi untuk melanjutkan pelajaran. Ini merupakan satu kehilangan modal insan yang besar terhadap pendapatan negara. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr. Joy Rizki kerana bersungguh-sungguh membawa saya ke UTM dan alhamdulillah memperoleh CGPA lebih dari 3.50.
Akhir kata dari saya, carilah ilmu sehingga ke liang lahad. Dengan ilmu anda dapat mengaitkan setiap pelusuk kehidupan lebih bermakna dengan adanya Quran, Sunnah dan Sains.
Sekian.